Sejarah Kaligrafi Islam


(Sumber daripada Kajian TESIS saya pada tahun 2008/2009)

Sejarah Perkembangan Seni Kaligrafi Islam

Tidak ada kepastian tentang tulisan Arab pertama. Beberapa sumber menyebut bahawa kerajaan Arab Kuno seperti Nabatea, Hira dan kerajaan lain di Yaman menggunakan huruf ini dalam bentuk kuno. Ketika Nabi Muhammad s.a.w. lahir, kaligrafi Arab telah digunakan dengan meluas di Mekah.[1] Bahkan kaligrafi Arab mendapat perhatian istimewa serentak dengan turunnya wahyu Ilahi kepada Rasulullah s.a.w. Setelah kedatangan Islam abad ke-7 M, mereka menyedari pentingnya penggunaan tulisan secara meluas untuk tujuan berdakwah dan juga mencatit wahyu yang menekankan kemahiran penulisan di kalangan orang-orang Arab. Penyalinan al-Quran merupakan kegiatan paling menggalakkan kaum muslimin untuk mempelajari tulisan.[2] Firman Allah:

úc 4 ÉOn=s)ø9$#ur $tBur tbrãäÜó¡o ÇÊÈ
                      Maksudnya:
                  Nuun. Demi Pena dan apa yang mereka tulis.

Surah al-Qalam (68) : 1

Seni kaligrafi pada dasarnya telah di perkembangkan demi untuk menghasilkan salinan-salinan al-Quran serta teks-teks agama dengan cantik. Selepas abad ke-14, berlaku perkembangan kaligrafi terutamanya di Parsi, Turki dan India. Ahli kaligrafi terkenal diberikan hadiah yang banyak dan diberikan kedudukan yang istimewa oleh para putera raja dan orang-orang besar di seluruh dunia Islam. Beberapa pemerintah yang masyhur telah mendirikan sekolah-sekolah dan pusat-pusat seni kaligrafi.[3]  
Bentuk huruf di dunia ini, pada mulanya merupakan tanda-tanda sangat sederhana yang telah di temukan. Diantaranya:  
i-                    Tulisan Arab yang di gunakan sekarang berasal dari proses terakhir dari tulisan Mesir Kuno.
ii-                  Muncul tulisan Finiqi dan kemudian timbul tulisan Aram (suku Syam Kuno) di Palestin dan Iraq.
iii-                Tulisan berkembang mengikut daerah sehingga tulisan Musnad berganti bentuk sesuai dengan suku kaum yang menggunakannya.
iv-                Tulisan Musnad telah di kalahkan oleh tulisan Kindi (suku sebelah Selatan Jazirah sebelum Islam) dan Nabthi.
v-                  Kemudian tulisan itu disempurnakan oleh suku Hirah dari Anbar (Iraq). Ia juga adalah penyempurnaan dari tulisan Musnad. Tulisan ini mirip dengan tulisan Arab yang digunakan sekarang ini, cuma ada perubahan sedikit sahaja.[4]   

Dalam asal usul huruf Arab, pembentukan abjad Arab seperti yang di kenal pada masa awal Islam memakan masa berabad-abad. Mereka mengenali kaligrafi melalui berbagai-bagai sumber yang sampai ke Hijjaz pada abad 6 M. Dari inskripsi yang ada, huruf Arab berasal dari huruf Nabatea, Hiri dan Anbari yang di bawa masuk oleh ahli perniagaan Quraisy.


Perkembangan Awal Kaligrafi Zaman Umawiyyah (661-750 M.)

Perhatian umat Islam terhadap tulisan dengan berawalnya al-Quran. Pertalian langsung antara tulisan dan nilai-nilai keagamaan ini menjadikan kaum muslimin selalu termotivasi untuk terus mengembangkannya.[5] Ini kerana pemerintahan zaman ini amat menitikberatkan kemajuan seni kaligrafi kerana ia sangat diperlukan samada dalam penulisan mushaf, ukiran dinding, mencetak mata wang mahupun surat menyurat.[6]

Satu kenyataan dimana bahasa Arab merupakan satu-satunya bahasa utama umat Islam dan ia mempunyai fungsinya tersendiri. Empat atau lima salinan pertama pada zaman Khalifah Uthmani menjadi naskah penyalinan al-Quran yang disebut sebagai Resm Uthmani dan dari sinilah semua salinan al-Quran dibuat. Zaman ini juga berlaku pembaharuan aspek peletakan titik huruf oleh Abu al-Aswad al-Dua'li dan keseimbangan baris-baris bacan oleh al-Khalil bin Ahmad al-Farahidi.[7]

Beberapa bentuk kaligrafi ini dinamakan berdasarkan nama kota tempat berkembangnya tulisan. Bukti menunjukkan bahawa tulisan yang terkenal di Mekah dan Madinah iaitu Mudawwar (bundar), Muthallath (segitiga) dan Ti’m (gabungan segitiga dan bundar). Gaya-gaya kaligrafi lain yang berkembang di Kufah dan Basrah adalah Masyq, Tajawid, Sitawati, Mashu’, Munabaz, Murasaf, Isbahani, Sijjili dan Firamuz yang berasal dari Parsi. Gaya Masyq dan Naskhi berkembang pesat sementara Ma’il semakin tidak dipakai lagi kerana kalah dengan wujudnya gaya Kufi.

Qutbah al-Muharrir merupakan ahli kaligrafi di zaman Umawiyyah yang termasyhur kerana bakatnya yang luar biasa. Beliau menemukan empat tulisan utama iaitu Thumar, Jalil, Nifs dan Thuluth. Beliau mengembangkan tulisan tersebut dengan gaya lainnya sehingga menjadi lebih sempurna hinggakan digelar sebagai penulis kaligrafi terbaik di dunia.[8] Bagaimanapun, khalifah pertama Bani Umawiyyah iaitu Mu'awiyyah b. Abu Sufyan (661-680) merupakan pendorong utama dalam pencarian bentuk-bentuk baru kaligrafi Islam.[9] 

Tulisan Thumar pada zaman Umawiyyah banyak digunakan dengan meluas terutama untuk komunikasi bertulis Khalifah kepada ketua-ketua dan penulisan dokumen rasmi Istana. An-Nadim dalam kitab al-Fihrist memberi keterangan tentang 24 tulisan yang ada pada masa ini terbahagi masing-masing kepada 12 tulisan. Bahkan 24 tulisan tersebut berasal dari empat tulisan iaitu Jalil, Thumar al-Kabir, Nisf as-Thaqil dan Thuluth as-Thaqil. Namun yang paling berpengaruh adalah Thumar dan Jalil.  

Dalam perkembangan di zaman Umawiyyah adalah menekankan kemajuan seni kaligrafi Arab kerana ia sangat penting untuk penulisan. Sistem tulisan di zaman ini semakin berubah dalam proses pencarian bentuk-bentuk lain yang sebelum ini hanya di monopoli oleh jenis Kufi. Walaubagaimanapun, zaman Abasiyyah telah menghancurkan sebahagian besar peninggalan-peninggalannya sehingga sejarah kaligrafi pada zaman ini tidak terungkap secara menyeluruh. Hanya ada beberapa contoh tulisan yang ada seperti di Qubbah ash-Shahkrah (The Dome of the Rock). [10]


Perkembangan Teknik Kaligrafi pada Zaman Abasiyyah (750-1258 M.)

Waris tradisi kaligrafi di awal zaman Abasiyyah mencatat sebuah nama besar yang sering disebut-sebut hingga kini iaitu Ibnu Muqlah. Pada zaman ini menyaksikan kemuncak pembaharuan seni kaligrafi Islam yang pelbagai malahan kemunculan Ibnu Muqlah di anggap sebagai pembuka tirai sejarah pembaharuan dalam arena seni kaligrafi Islam.[11] Sejak usia mudanya telah menunjukkan kepintaran dalam bidang ini bersama saudaranya Abu Abdullah. Kemasyhuran Ibnu Muqlah atas jasanya menerapkan kaedah-kaedah penulisan berdasarkan ukuran geometri. Ada tiga unsur kesatuan dalam pembuatan huruf iaitu titik, huruf alif dan lingkaran.[12]  Setiap huruf dalam teori Ibnu Muqlah disebut al-Khat al-Mansub (tulisan yang bersandar).

Ibnu Muqlah berjasa dalam pemakaian enam tulisan asas (al-Aqlam al-Sittah). Beliau sangat berjasa dalam membangunkan tulisan Naskhi dan Thuluth dalam karyanya yang sebelum ini didominasi Kufi dan gaya-gaya kecil yang lain.

An-Nadim dalam kitab al-Fihrist menyebut, Ibnu Muqlah dan saudaranya Abu Abdullah sahaja yang mencapai kesempurnaan menyeluruh. Pada masa ini penjenamaan dan penyalinan buku-buku begitu pesat. Bahkan ramai cendekiawan berbagai ilmu lahir pada zaman ini. Bagaimanapun kaligrafi bukan sekadar urusan pembuatan huruf-huruf sahaja tetapi menjadi bahagian dari tradisi intelektual yang ada.[13]

Kepintaran Ibnu Muqlah menurun dan diikuti oleh Ibnu Bawwab yang telah mengembangkan sistem kaligrafi bernisbah.[14] Sumbangan Ibnu Bawwab terhadap kaligrafi Arab khususnya terhadap al-Aqlam al-Sittah. Beliau mempunyai pembaikan gaya Naskhi dan Muhaqqaq. Pada abad berikutnya, muncul Yaqut al-Musta’simi yang memperkenalkan metode baru lagi dalam memperkaya kaligrafi Arab.

Penampilan baru gaya Thuluth dikenal sebagai Yaquti dan Yaqut adalah penulis kaligrafi terbesar di masa-masa terakhir zaman Abasiyyah yang jatuh ke tangan tentera Mongol. Pemakaian kaligrafi pada zaman Abasiyyah menunjukkan keberagamaan yang sangat nyata dan jauh apabila dibandingkan dengan zaman Umawiyyah. Untuk karya-karya yang digunakan masa awalnya Abasiyyah yang dipakai adalah gaya Kufi. Kemudian baru munculnya Naskhi dan Thuluth terutama pada abad ke-10.[15]

Sementara itu, di wilayah Islam bahagian Barat termasuklah Andalusia (Sepanyol), pada abad pertengahan berkembang bentuk tulisan yang disebut Khat Maghribi. Selepas itu, muncul pertumbuhan kaligrafi masuk ke zaman kerajaan Islam Parsi seperti Ilkhanid (abad ke-13), Timurid (abad ke-15), dan beberapa kerajaan lain seperti Turki Uthmani (abad ke-14 hingga ke-20) dan lain-lain. Pada masa ini, bermula tumbuhnya gaya-gaya tulisan baru seperti Farsi & Nasta'liq, Diwani & Humayuni, Tugra dan lain-lain.[16]

Kini, sebahagian ratusan jumlah gaya kaligrafi telah pupus dan kini hanya tinggal beberapa gaya yang paling popular di dunia Islam iaitu Naskhi, Thuluth, Raihani, Diwani, Req'ah, Farisi dan Kufi.

Seni kaligrafi begitu besar pengaruhnya terhadap al-Quran yang menyentuh setiap aspek kehidupan Muslim sehingga mengangkat kaligrafi ke puncak seni yang di anggap suci. Oleh kerana berkembangnya Islam ketika ini, tokoh kaligrafi Libanon iaitu Kamil al-Baba mengatakan bahawa penulisan al-Quran dengan indah telah mendorong kaum Muslimin mengubah nama kaligrafi Arab kepada kaligrafi Islam. Ini kerana besarnya peranan Islam dalam usaha mengembangkan kaligrafi Arab, maka sebutan seni kaligrafi Islam lebih popular daripada sebutan seni kaligrafi Arab.[17]


[1] Shafie Abdul Rahman. 2003. Ensiklopedia Islam Untuk Pelajar. Kuala Lumpur: Visi Era Publication Sdn. Bhd. & Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia. Hlm. 75.
[2] Haji Abdul Ghani Samsudin, Ishak Hj. Sulaiman dan Engku Ibrahim Ismail. 2001. Seni Dalam Islam. PJ: Intel Multimedia dan Publication. Hlm. 85.
[3] Ibid. Hlm. 89-90.
[4] Drs. Abdul Karim Husain. t.t. Khat Seni Kaligrafi: Tuntutan Menulis Halus Huruf Arab. Jakarta: Menara Kudus. Hlm. 7-8.
[5] Drs. D. Sirajuddin AR. 1995. Kaedah Menulis dan Karya-karya Master Kaligrafi Islam. Kuala Lumpur: Pustaka Firdaus. Hlm. 12.
[6] Al-Ahnaf Khat. 2008. http://www.ahnafkhat.com/senikhat.htm. 11.12.08.
[7] Drs. D. Sirajuddin AR. 1995. Op.Cit. Hlm. 13.
[8] Ibid. Hlm. 14.
[9] Dewan Redaksi Ensklopedi Islam. Ensiklopedi Islam. Cet.3. Jakarta: PT Inchtiar Baru Van Hoeve. Hlm.3.
[10] Ibid.
[11] Al-Ahnaf Khat. 2008. http://www.ahnafkhat.com/senikhat.htm. 11.12.08
[12] Drs. D. Sirajuddin AR. 1995. Kaedah Menulis dan Karya-karya Master Kaligrafi Islam. Kuala Lumpur: Pustaka Firdaus. Hlm. 15.
[13] Ibid. Hlm. 16.
[14] Al-Ahnaf Khat. 2008. Op.Cit..
[15] Drs. D. Sirajuddin AR. 1995. Kaedah Menulis dan Karya-karya Master Kaligrafi Islam. Kuala Lumpur: Pustaka Firdaus. Hlm. 17-18.
[16] Dewan Redaksi Ensklopedi Islam. Ensiklopedi Islam. Cet.3. Jakarta: PT Inchtiar Baru Van Hoeve. Hlm.5.
[17] Ibid. Hlm. 6.

1 comment: